1. Motivasi Sebagai Pengarah Tuju dan Penggerak Tindakan Perkataan
MOTIVASI adalah berasal daripada perkataan Bahasa Inggeris - "MOTIVATION". Perkataan asalnya ialah "MOTIVE" yang juga telah dipinjam oleh Bahasa Melayu / Bahasa Malaysia kepada MOTIF, yakni bermaksud TUJUAN. Di dalam surat khabar, kerap pemberita menulis ayat "motif pembunuhan". Perkataan motif di sini boleh kita fahami sebagai sebab atau tujuan yang mendorong sesuatu pembunuhan itu dilakukan.
Jadi, ringkasnya, oleh kerana perkataan motivasi adalah bermaksud sebab, tujuan atau pendorong, maka tujuan seseorang itulah sebenarnya yang menjadi penggerak utama baginya berusaha keras mencapai atau mendapat apa juga yang diinginkannya sama ada secara negatif atau positif.
Oleh itu kita boleh definisikan bahawa: 1. Motivasi adalah sesuatu yang menggerak dan mengarahtuju seseorang dalam tindakan-tindakannya sama ada secara negatif atau positif.
2. Motivasi Sebagai Pendorong
Tujuan atau motif adalah sama fungsinya dengan matlamat, wawasan, aspirasi, hasrat atau cita-cita. Jadi, wawasan, cita-cita, impian, keinginan atau keperluan seseorang itu malah bagi sesebuah negara merupakan pendorong utama yang menggerakkan usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang dihajatkan.
Lebih penting sesuatu yang ingin dicapai, dimiliki, diselesaikan atau ditujui, lebih serius dan lebih kuatlah usaha seseorang, sesebuah keluarga, organisasi, masyarakat atau negara untuk mencapai apa juga matlamat yang telah ditetapkan. Jadi, dengan matlamat atau hasrat yang lebih penting atau besar, lebih kuatlah pula dorongan atau motivasi seseorang itu untuk berusaha bagi mencapai matlamatnya.
Oleh itu, bolehlah kita buat kesimpulan di sini bahawa: 2. Motivasi adalah suatu bentuk dorongan minda dan hati yang menjadi penggerak utama seseorang, sesebuah keluarga atau organisasi untuk mencapai apa yang diinginkan.
(Definisi kedua saya di atas ada kesamaan sedikit dengan definisi pertama).
3. Motivasi Sebagai Darjah Kesungguhan
Tahap kepentingan sesuatu yang seseorang ingin capai, memberi kesan terhadap tahap kesungguhannya berusaha. Sungguhpun masa untuk mencapainya agak lama, tetapi jika apa yang dihasratkan itu amat penting, ia akan terus tetap mempunyai keinginan atau kesungguhan untuk berusaha sehinggalah matlamatnya tercapai.
Oleh itu, bolehlah juga kita buat kesimpulan di sini bahawa: 3. Motivasi adalah darjah atau tahap kesungguhan dan tempoh keterusan seseorang, berusaha untuk mencapai tujuan atau matlamat.
4. Motivasi Sebagai Stimulator
Untuk menjelaskan maksud ini, saya ingin ambil kisah berikut: Seseorang lelaki dan wanita yang sedang saling amat cinta mencintai sehingga telah berjanji untuk hidup bersama, akan berusaha dengan penuh kesungguhan untuk menjadi suami isteri walaupun menghadapi pelbagai halangan untuk berbuat demikian. Itulah sebabnya, ramai pasangan yang kita dengar pergi bernikah ke luar negara apabila ada halangan yang tidak membolehkan mereka mendapat sijil perkahwinan di dalam negara atas sebab halangan undang-undang. Seperti kata pepatah Melayu "Nak, seribu daya. Tak nak, seribu dalih." Di sini dapatlah kita simpulkan bahawa: 4. Motivasi adalah stimulasi atau semangat akibat rangsangan atau keghairahan terhadap sesuatu yang benar-benar diingini.
5. Motivasi Sebagai Pemangkin Keberanian
Untuk menjelaskan maksud ini, saya ingin menceritakan sedikit pengalaman saya semasa kanak-kanak dahulu. Semasa saya baru berusia kira-kira 10 tahun, saya amat takut berada di tempat gelap, sebab takut akan "terjumpa hantu". Amalan di kampung saya terutamanya pada tahun-tahun 60an dan 70an ialah apabila seseorang ahli keluarga meninggal dunia, pada rumah orang yang meninggal dunia itu hendaklah ada orang yang tidak tidur atau berjaga sampai pagi, selama tujuh hari. Amalan ini dipanggil "modtudau".
Suatu hari, ada kematian di kampung saya. Masa itu, banyak cerita tentang "hantu bangkit" di tempat kelahiran saya (Kundasang, Ranau, Sabah - Kini Kundasang adalah sebuah pusat peranginan yang terkenal di rantau ini). Kerana minat "modtudau", saya tidak melepaskan peluang untuk "modtudau" bersama.
Rumah kami jaraknya lebih kurang 500 meter dari rumah jiran kami itu yang ada kematian. Apabila malam semakin larut, saya mula rasa mengantuk. Tiba-tiba saya rasa nak balik rumah sangat. Waktu itu bekalan elektrik belum ada. Kerana takut terjumpa hantu, saya telah cuba mencari jika ada sesiapa yang nak balik rumah mereka agar dapat menemani saya pulang, tetapi, nampaknya tak ada seorangpun yang nak balik.
(Kundasang - Terletak Di Bawah Kaki Gunung Kinabalu - Gunung Tertinggi Di Asia Tenggara - 13,455 Kaki)Yang nak balik, sudah balik awal. Yang tak nak balik rumah, ada yang sudah tidur atas lantai. Pada masa yang sama, saya juga malu minta tolong hantar pulang kerana saya pergi ke rumah jiran itupun sebenarnya tidak ada sesiapa yang menjemput. Ibu bapa saya pun tak tahu. Ingatkan nak pergi sekejap sahaja.
Oleh kerana rasa tak selesa tidur di rumah orang lain, dan takut pula dimarahi ibu bapa, saya terus memberanikan diri balik seorang diri. Mula-mula jalan, OK - (takut juga tetapi masih terkawal). Sampai di pertengahan jalan, tiba-tiba saya terasa macam ada sesuatu di sebelah kiri saya - seperti lembaga hitam besar.
Kinabalu Pine Resort, Kg. Sinisian, Kundasang, Ranau, Sabah, Malaysia
Saya terus terkejut dan takut. Apa lagi….. sayapun memecut lari seperti lipas kudung - sekuat-kuatnya menyelamatkan diri ... badan dan mukapun rasa amat pucat dan sejuk, bulu romapun naik! Taaakut betul! Sampai rumah - dalam keadaan amat seram, saya berteriak.. AMAAAAAAAK IWANGAII ILO NONGOBOOONNN (Bahasa Ibunda saya) atau MAAAK BUKA PINTUUUUU!!!. Terdengar suara ketakutan dari saya, mak saya cepat-cepat buka pintu! Mungkin masih berjaga - dan tak dapat tidur kerana risau tentang diri saya. Oleh kerana terlalu takut dan tercungap-cungap, ibu saya yang mungkin tadinya risau dan marah, cepat-cepat mententeramkan saya.
Itulah salah satu daripada pengalaman-pengalaman masa kanak-kanak yang saya tak dapat lupakan. Kerana, teringin sangat nak balik rumah, dalam keadaan takut-takut nak balik, akhirnya memberanikan juga balik seorang diri dalam keadaan gelap.
Apa yang boleh saya rumuskan di sini berasaskan pengalaman saya itu ialah; apabila kita betul-betul dan benar-benar inginkan sesuatu, ketakutan atau kemalasan menjadi perkara kedua - mencapai matlamat akan menjadi perkara utama;keberanian, kerajinan dan ketekunan akan timbul. Oleh itu, bolehlah kita simpulkan atau definisikan di sini bahawa: 5. Motivasi adalah suatu mangkin yang menimbul dan menyeramakkan keinginan, keberanian dan kesungguhan untuk mencapai sesuatu matlamat mencabar yang benar-benar diingini serta diyakini boleh dicapai / perolehi.
(Definisi kelima ini pula ada kesamaan sedikit dengan definisi keempat).
Kritikan Terhadap Pendapat Tentang Motivasi
Ramai ahli psikologi yang menyatakan bahawa, apabila sesuatu matlamat sudah tercapai, ianya tidaklah berfungsi lagi sebagai pemotivasi. Ini kerana, bila yang diinginkan sudah tercapai, ia akan berpuas hati dan tidak lagi menjadi perangsang kepadanya; ianya tidak lagi menjadi sesuatu yang mendorong atau memotivasikan dirinya untuk terus berusaha mendapatkannya.
Pusat Latihan Telekom di Kundasang, Ranau, Sabah, Malaysia
Saya kurang bersetuju dengan pendapat ini. Sesuatu yang dahulunya menjadi pemotivasi, sebelum kita miliki, sebenarnya tetap berperanan sebagai pemotivasi. Yang berubah ialah peranannya. Motivasi seseorang terhadap perkara itu akan berubah kepada keperluan untuk memastikan apa yang dimiliki itu kekal atau lama dimilikinya. Misalnya, seorang ahli politik yang bercita-cita nak jadi menteri; cita-cita tercapai; ia dilantik sebagai menteri. Apakah apabila sudah jadi menteri, menjadi kekal sebagai menteri tidak lagi menjadi pemotivasinya? Kalau menteri itu lupa akan kepentingan untuk terus kekal sebagai menteri, besar kemungkinan perdana menteri atau presiden akan menggugurkannya pada rombakan atau pembentukan kabinet yang akan datang. Mungkin juga dalam pilihanraya akan datang, rakyat tidak akan mengundinya lagi. Malah jika majoriti wakil-wakil rakyatnya lupa akan kepentingan memotivasinya diri mereka untuk terus menjadi pilihan rakyat, pertukaran kerajaan akan pula mengambil alih.
Jadi, pendapat yang mengatakan "a satisfied need doesn't motivate", boleh dipertikaikan. A satisfied need, in actuality still has its motivational functions. The motivational functions shall be: to nurture and sustain what is or are being possessed or hold.
Semoga definisi-definisi motivasi yang saya berikan di atas dapat sedikit sebanyak membantu anda memahami dengan lebih mudah / mendalam makna atau erti perkataan motivasi. Terima Kasih.